Thursday, May 7, 2020

Ceper atau Tudung Botol?

Permainan penutup botol ini dikenali sebagai 'Ceper'. Permainan ini amat terkenal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pada suatu ketika dahulu dan masih dimainkan hingga sekarang. 

Permainan ini amat menyeronokan jika dimainkan bersama rakan-rakan ataupun ahli keluarga. Lebih ramai pemain, lebih seronok permainan ini dimainkan.

...Kecuali, jika terdapat pemain yang handal, pasti kita akan berasa bosan kerana menunggu giliran kita tiba, hehehe...


Kebanyakan penutup botol ini boleh diperolehi daripada botol minuman berkaca ataupun botol kicap. Permainan ini hanya memerlukan lima buah penutup botol sahaja seperti gambar di bawah;




Objektif permainan ini cukup mudah, iaitu mengumpul mata sebanyak yang mungkin dan andalah pemenangnya. Tetapi, untuk bermainnya, kita memerlukan sedikit kemahiran seperti menimbang menggunakan tangan, dan menjentik penutup botol.


Cara-cara untuk bermainnya adalah seperti berikut:

*sediakan 5 buah ceper*

  1. Setiap pemain akan menimbang ceper (1 ceper mewakili 2 markah), bagi menentukan giliran. Pemain dengan markah tertinggi akan memulakan permainan terlebih dahulu.
  2. Ceper disusun secara bertindih (menegak), kemudian diputarkan ke udara bagi memastikan ceper tersebut bertebaran seperti gambar di bawah;
  3. Pemain lain akan menentukan arah ceper mana yang akan dijentik oleh kita.
  4. Andai kata ceper yang dijentik oleh kita tidak mengena sasaran atau tersentuh ceper yang lain, maka, giliran kita tamat dan diteruskan dengan pemain yang lain.
  5. Sekiranya kita berjaya menjentik semua ceper yang diarahkan oleh pemain lain, pusingan diteruskan dengan menimbang ceper menggunakan tangan seperti gambar dibawah;
  6. Permainan diteruskan sehingga terdapat pemain yang berjaya mengumpul markah penuh dengan pantas.
  7. Pemain pertama yang berjaya mengumpul markah penuh dinobatkan sebagai pemenang. *markah penuh ditentukan oleh para pemain*

Info tambahan*

Ayam
  • Ceper yang bertindih dua selepas diputarkan ke udara dipanggil ayam. Apabila perkara ini berlaku, pemain lain akan menolong untuk memutarkannya kembali ke udara mengikut tahap putaran iaitu "sederhana(hujan), kuat(ribut) dan sangat kuat(taufan)". Tahap ini ditentukan oleh mana-mana pemain yang menyebutnya terlebih dahulu.
Jamban
  • Ceper yang bertindih tiga selepas diputarkan ke udara dipanggil jamban. Ceper disusun secara bertingkat iaitu 2 dibawah, 1 di atas. Pemain akan diberi pilihan oleh pemain lain sama ada untuk memilih jamban terbuka atau tertutup. Kemudian pemain akan menjentik ceper berdasarkan arahan pemain lain.
  • Jamban terbuka - 2 dibawah, 1 di atas tertutup, 1 lagi di atas terbuka.
  • Jamban tertutup - 2 dibawah, 1 di atas, lebihan ceper sebanyak 2 diletakkan secara bertentangan dengan "jamban".
Pagar
  • Berlaku apabila terdapat 4 ceper yang bertindih selepas diputarkan ke udara. 4 ceper di susun secara bertindih (melintang). Lebihan ceper sebanyak 1 diletakkan bertentangan dengan "pagar" berdasarkan jarak yang ditentukan oleh pemain lain. Kemudian ceper tersebut perlu dijentik melepasi "pagar" tersebut tanpa menyentuhnya.
Bunga
  • Berlaku apabila 5 ceper yang diputarkan ke udara bertindih antara satu sama lain. Keadaan ini jarang berlaku, tetapi mudah untuk dilakukan dengan cara memutarkannya ke udara secara perlahan dan rendah. 4 ceper di susun secara sebelah menyebelah membentuk segi empat sama dan 1 di atas. Pemain lain akan menekan ceper di atas dengan kuat agar ceper-ceper tersebut bertebaran. Kemudian pemain menjentik ceper tersebut berdasarkan arahan pemain lain seperti biasa.
*Cara bermainnya boleh dilihat pada video ini ;

sumber; https://youtu.be/ML7_2GWVXOg


Macam mana geng? Menarik tak permainan ceper ini?

Kalau menarik, ajak kawan-kawan main sekali. Ayuh kita sama-sama mempopularkan pemainan ini.

Sekian, terima kasih.

Nama ahli :

1. Muhammad Irfan Bin Ibrahim (JIA190021 / 17204204/1)

2. Hafizuddin Bin Azli (JIA190005/ 17206443/1)

3. Mohd Hamdan Bin Esa (JIA190017 / 17204905/1)

4. Muhammad Syafiq Bin Zakaria (JID190013 / 17204071/1)

5. Muhammad Firdaus Bin Bahrun (JIC 190016/17206145/1)



Berikut merupakan refleksi secara individu daripada kumpulan kami terhadap aktiviti Jalinan Masyarakat :


  • Assalamualaikum, nama saya Hafizuddin bin Azli daripada Jabatan Kesenian Melayu.
    Perasaan saya gembira, apabila dapat menyertai program Jalinan Masyarakat (JM) di bawah kendalian Afiq. Walaupun Jalinan Masyarakat ini tidak berjalan seperti yang diharapakan. Namun, pihak majlis tertinggi telah merangka satu pelan baharu untuk terus menjayakan program ini. Antara perkara yang saya dapat pelajari semasa menyertai program ini ialah cara untuk berkomunikasi, membahagikan masa dengan baik supaya perkara yang dilakukan dapat berjalan dengan lancar. Saya berharap program Jalinan Masyarakat ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.



  • Assalamualaikum dan selamat sejahtera, saya Mohd Hamdan Bin Esa daripada
    Jabatan Kesenian Program Jalinan Masyarakat yang dijalankan pada semester kali ni memberi impak baru dan baik kepada saya. Walaupun program ini telah mengalami sedikit perubahan dalam proses menjalankan ia, program seperti ini telah memberi ilmu pengetahuan yang menarik kerana saya mempunyai peluang belajar bekerja secara berkumpulan. Hal ini kerana saya berpeluang untuk belajar secara terbuka dalam bidang pengurusan serta meluahkan pendapat dalam kumpulan. Sepanjang proses yang dilakukan, saya turut dapat belajar cara lebih efisyen dalam proses menerima dan memberi pandangan lebih terperinci serta teratur. Oleh itu,  pada saya program seperti ini memberi banyak manfaatnya tersendiri khususnya kepada pelajar dalam usaha menghasilkan para graduan yang memiliki daya kepimpinan terbaik.

  • Assalamualaikum dan selamat sejahtera, saya Muhammad Irfan Bin Ibrahim, daripada Jabatan
    Kesenian, Akademi Pengajian Melayu. Bagi saya, aktiviti Jalinan Masyarakat (JM) kali ini merupakan suatu perkara yang baru bagi saya kerana dilaksanakan secara atas talian. Pada mulanya saya berasa sedikit pelik tentang bagaimana cara pelaksanaanya kerana belum diberi penjelasan berkenaanya. Selepas diberi penjelasan daripada pihak pengarah projek, saya mula berasa tertarik untuk melaksanakannya. Banyak manfaat yang saya peroleh daripada aktiviti ini. Antaranya ialah cara membuat Blog dan cara membuat video sempena CoVid-19. Secara keseluruhannya aktiviti (JM) ini telah memberi pengalaman yang baru buat saya. Saya berharap agar segala usaha dan kerja keras kami dalam menyiapkan tugasan ini membuahkan hasil.


  • Saya Muhammad Firdaus bin Bahrun dari Jabatan Sosio-Budaya Melayu. Pengalaman yang
    saya perolehi daripada projek JM kali ini adalah semestinya pengalaman yang berharga pada saya.. Perancangan yang rapi telah dibuat oleh pihak MT tetapi sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan yang menentukan hanya Allah s.w.t. Pertama kali saya hendak mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam projek JM terutama unit logistik. Walaupun projek JM yang pertama diubah, projek terbaru tidak kurang hebat juga kerana menjadi salah satu cara untuk mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak. Harapan saya, saya dapat membina sesuatu yang terbaik dalam diri saya dan juga sahabat-sahabat yang lain.

  • Nama saya,Muhammad Syafiq Bin Zakaria berasal dari Kota Bharu, Kelantan.Pelajar Tahun 1
    Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Saya ingin berkongsi pengalaman yang banyak saya dapat sewaktu menuntut ilmu, iaitu dgn melakukan pelbagai usaha utk mancapai kejayaan.. Bagi JM kali banyak input-input yang positif dapat diambil untuk kebaikan diri antaranya mengeratkan hubungan silaturahim dengan kawan dari fakulti yang sama, meningkat lagi daya kepimpinan diri dan mempelajari cara pengendalian program yang mencabar secara teori dan praktikal. JM kali ini kami telah diberi tugas untuk mencipta satu blog bagi sebuah permainan warisan iaitu permainan ceper. Permainan ceper amatlah menarik jika  dimainkan pada waktu lapang kerana permainan ini merupakan satu tradisi masyarakat di negara kita sejak dahulu lagi. Selain mengisi masa lapang, kita juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain melalui permainan ini. Sepanjang melakukan tugasan, saya berasa amat seronok sekali. Semoga program Jalinan Masyarakat ini dapat diadakan dengan gilang gemilang dan bermanfaat kepada ahli jawatankuasa dan masayarakat lain.


*Sumber gambar rajah tudung botol*